Berkatilah Umur dengan 4 Perkara
Seandainya
kita diberi umur untuk hidup oleh Allah hingga 50 tahun apakah yang
akan kita lakukan untuk memanfaatkan umur tersebut? Andaikan umur kita
saat ini sudah 45 tahun, maka baki umur yang tersisa ada 5 tahun lagi,
jika hari ini kita telah pun berumur 49 tahun, bererti sisa umur kita
ada 1 tahun lagi. 1 tahun itu adalah waktu yang sangat singkat, tidak
terasa detik demi detik, malah minggu demi minggu lalu setahun itu telah
pun berlalu, tidak terasa ajal sudah di depan mata, jadi bagaimanakah
persiapan kita menjelang kehidupan hakiki yang penuh berkat?
Oleh
yang demikian, Rasulullah SAW telah meninggalkan satu pesanan yang amat
berharga buat kita semua sebagai umatnya. Baginda telah bersabda:
“Memberi sedekah, menyuruh pada kebaikan, berbakti kepada ibu bapa dan
silaturahim dapat mengubah penderitaan menjadi kebahagiaan, menambah
berkat umur dan menolak kejahatan.” (Hadis riwayat Abu Naim).
Dengan
ini, empat perkara di atas sangat perlu dititikberatkan oleh kita semua
sebagai umat Islam dalam meraih keberkatan hidup dan keredhaan Allah
demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Maka seharusnya kita
jadikan elemen tersebut sebagai “the way of life”.
Perkara
pertama yang disentuh oleh Rasulullah S.A.W ialah bersedekah. Semua
orang mampu bersedekah kerana pemahaman sedekah itu tidak hanya berupa
bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda semata-mata. Hatta
yang tidak berharta pun masih mampu bersedekah, iaitu dengan menggunakan
tenaga kudrat fizikal tubuh badan untuk membantu orang lain. Apatah
lagi seandainya kita dianugerahkan Allah dengan kemewahan dan sudah
pasti lebih mudah untuk mengamalkan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah
SAW itu.
Abu Hurairah pernah memberitahu bahawa Rasulullah SAW
ada ditanyakan: “Wahai Rasulullah SAW, sedekah apakah yang paling mulia?
lalu Baginda menjawab: “sedekah orang yang tidak mampu dan mulakanlah
(memberi sedekah) pada orang yang banyak tanggungannya.” (Hadis riwayat
Imam Ahmad dan Abu Daud).
Sabda Rasulullah ini adalah satu
penghargaan besar kepada golongan kurang berkemampuan yang masih
bersemangat menghulurkan sedaya upayanya memberikan sedekah kepada orang
lain. Inilah keindahan dalam Islam kerana sikap saling membantu
dititikberatkan dalam membina masyarakat.
Melalui budaya
bersedekah itu akan membentuk landskap masyarakat penyayang dan
prihatin. Perasaan kebersamaan dan semangat kekitaan pasti wujud kukuh
dan berakar umbi teguh dalam masyarakat yang saling membantu melalui
pemberian sedekah.
Perkara kedua yang disarankan Baginda SAW
ialah bersikap sentiasa menyuruh ke arah kemanfaatan dan kebaikan. Skop
menyuruh kepada kebaikan sebenarnya tidak hanya terhad kepada da’ie atau
pendakwah saja malah semua mukmin mesti berasa terpanggil untuk
bersama-sama mengajak insan lain kepada kebaikan. Menyuruh kepada
kebaikan juga bermakna kita melaksanakan seruan ke jalan Allah.
Atas
sebab pentingnya aspek ini, Saidina Ali bin Abi Talib turut mewasiatkan
kepada kita berbuat demikian. Kata beliau: “Serulah manusia ke jalan
Allah (amar makruf) dan cegahlah mereka daripada kemungkaran (nahi
mungkar) kerana apabila kedua-dua perkara ini ditinggalkan, maka
tunggulah kebinasaan umat ini.”
Jadi, apa saja kesempatan hidup
seharusnya kita menggunakannya dengan mengamalkan satu gaya hidup yang
saling menasihati ke arah kebaikan. Tidaklah wajar dalam sebuah
masyarakat Muslim untuk saling menutup mata seandainya melihat adanya
sesuatu yang mungkar.
Seterusnya, aspek berbakti kepada kedua-dua
ibu bapa juga diberitahu oleh Rasulullah SAW sebagai elemen yang akan
memancarkan keberkatan kepada umur dan kehidupan kita. Senario semasa
jelas masih banyak yang tergamak mengabaikan perkara ini dan tidak
menganggapnya sebagai penting untuk dihayati.
Sesungguhnya
persoalan mengabaikan aspek memelihara dan berbakti kepada ibu bapa akan
mengundang laknat Allah dan pastinya seksa maha pedih menanti anak yang
derhaka itu. Seseorang anak yang derhaka dan mengabaikan
tanggungjawabnya kepada ibu bapa tidak mungkin memperoleh keberkatan
dalam apa saja di atas dunia ini, apatah lagi di akhirat kelak.
Allah
mengingatkan kita yang bermaksud: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu
menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat ihsanlah (berbuat baik)
kepada kedua-dua ibu bapa.” (Surah An-Nisa; ayat 36). Ini perintah
Allah dan sesiapa ingkar mematuhinya bermakna melakukan satu dosa besar
di sisi-Nya.
Perkara keempat memanfaatkan umur dan memberikan
kebahagiaan kehidupan kita dengan sentiasa memelihara hubungan sesama
insan sama ada dengan ibu bapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan juga
sesama ummah. Pesan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang ingin murah
rezeki dan panjang umurnya, hendaklah dia menyambung hubungan dengan
saudaranya (silaturahim)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).Namun,
senario hari ini jelas menunjukkan fenomena bertegang leher dan
berpisah-pisah sudah semakin menebal dalam masyarakat.
Justeru
itu marilah kita sama-sama memanfaatkan nikmat umur, kerana kita tidak
tahu di mana dan bilakah penghujung kepada kehidupan ini. Sementara
Allah masih memberi peluang untuk kita terus hidup, maka manfaatkanlah
ia dengan sebaik-baiknya dan bersegeralah untuk melakukan kebaikan,
kerana kita tidak tahu apakah masih ada lagi hari esok untuk kita? Jika
di dunia kita manfaatkan maka bahagia menunggu kita di akhirat kelak.
10 MINUTES CHAT.....!!!!!!!
07:39 |
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment